crawl, toddle, walk, run....

THE cerita YG aku BRU tau....

BH Edition : TE
Date : 28/03/1991 
Page Number : 01
Headline : Rela pernah dirakam untuk album Ziana
Words : 628
Byline : By Zubairi Haji Zabidin
Text :

MUNGKIN ramai yang tidak mengetahui, iaitu lagu Rela ciptaan Rahim Othman
yang menaikkan nama Tila, pernah dirakamkan oleh Ziana Zain, salah seorang
penyanyi kumpulan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Lagu itu berpindah kepada album Tila berjudul Rela disebabkan rakaman
album Ziana menerusi Rahim Othman Productions (ROP), milik pencipta dan
penggubah lagu terkenal itu tidak dapat diteruskan hingga selesai kerana
gadis itu, memilih pramugari sebagai kerjaya tetapnya. Ketika bersama kumpulan PDRM, Ziana mendendangkan lagu Hanya Waktu
Yang Menentukan ciptaan Rahim Othman dan lirik oleh Shaari Amri, yang
dimuatkan dalam album sulung kumpulan itu berjudul Ibarat Lilin, Mei tahun
lalu.

Hasrat Rahim untuk menjadikan Ziana artis rakaman wanita pertama ROP
terputus di tengah jalan apabila penyanyi itu mengambil keputusan untuk
berkhidmat sebagai pramugari Penerbangan Malaysia (MAS).
Rahim berkata: "Saya sangat kagum dengan penyampaian dan suara Ziana
apabila mendendangkan lagu hanya Waktu Yang Menentukan ketika rakaman itu
dijalankan.

"Saya selaku penerbit album berpuas hati dengan persembahan Ziana dan
apabila saya memperdengarkan lagu itu kepada beberapa rakan muzik yang
lain, mereka sependapat dengan saya.
"Sejak itu saya menaruh harapan dan berhasrat untuk mengambil Ziana
sebagai artis rakaman ROP. Saya mencipta beberapa lagu untuknya, membuat
album dengan ROP.
"Dia bersetuju dan rakaman mula dijalankan, walaupun kontrak belum
lagi dibuat. Beberapa lagu, termasuk Rela dirakamkan.
"Bagaimanapun, dalam masa yang sama, Ziana lulus temuduga untuk
menjadi pramugari MAS dan dia terus menerima tawaran itu.
"Saya menjadi serba-salah kerana sebagai seorang penyanyi, Ziana
harus mendapat publisiti meluas di media elektronik dan media cetak.
"Dengan tugas barunya itu, kami berpendapat dia tidak ada masa lapang
untuk berbuat demikian dan akhirnya saya mengambil keputusan untuk
menamatkan saja hasrat itu, walaupun saya berasakan satu kehilangan
besar," katanya.

Bagaimana pula lagu itu boleh didendangkan oleh Tila?, Rahim berkata:
"Sebenarnya 10 lagu untuk album Tila sudah siap dirakamkan tetapi beberapa
pegawai BMG mendapati tidak ada lagu yang kuat boleh menjadi hit dalam
album itu.
"Apabila Ziana tidak dapat menjadi artis ROP, mereka terus meminta
saya lagu Rela yang mereka kata mungkin menjadi top. Saya setuju lagu itu
dirakamkan semula oleh Tila.
"Alhamdulillah, nampaknya lagu itu membawa kejayaan kepada Tila.
Albumnya diedarkan ke pasaran pada Setember tahun lalu," kata Rahim.

Sementara itu Tila berpendapat lagu Rela ciptaan Rahim Othman adalah
sebuah lagu yang dapat memenuhi citarasa orang Melayu dan sesiapa saja
yang mendendangkannya akan diminati ramai.
Di samping itu, promosi yang besar oleh syarikat rakaman BMG terhadap
lagu itu juga menjadikannya cepat mendapat perhatian ramai dan mereka
sekaligus menaikkan nama Tila dalam dunia seni suara tanahair.

Tila berkata: "Saya sedar sebelum ini lagu Rela pernah diserahkan
kepada beberapa penyanyi lain, termasuk Ziana Zain, tetapi sebagai artis
rakaman yang baru, saya mengikut saja kehendak syarikat ketika itu.
"Sebelum ini sepuluh lagu ciptaan Ahmad Abdullah untuk album sulung
saya bersama BMG sudah siap, tetapi pihak syarikat berpendapat lagu-lagu
itu tidak begitu kuat untuk menarik perhatian peminat, apatah lagi untuk
menjadikan lagu hit seperti Rela.

"Berikutan itu pihak syarikat mengambil keputusan menggugurkan satu
lagu iaitu Musim Semakin Sepi untuk digantikan dengan Rela, apabila
penyanyi asalnya, Ziana Zain, tidak dapat meneruskan rakaman albumnya
dengan Rahim Othman Production.
"Bagi pendapat saya, lagu itu diberi promosi yang luas menyebabkan ia
diminati ramai dan sering dimainkan di radio, di samping ia mempunyai
kekuatan dalam memenuhi citarasa peminat Melayu," katanya.

Tila berkata pada pandangannya sesiapa saja yang mendendangkan lagu
itu akan mendapat sambutan dan sekaligus menjadi popular.
"Bagaimanapun, ini tidak bermakna lagu-lagu lain yang dimuatkan dalam
album sulung saya itu tidak baik. Bagi saya semuanya menarik, tetapi pihak
syarikat berasakan lagu ciptaan Rahim Othman itu lebih bertenaga," ujar
Tila.

Menurutnya, beberapa lagu dalam album itu seperti Titisan Cinta,
Masihku Merindu dan Satu Perpisahan adalah baik dan mungkin diminati ramai
sekiranya diberi promosi sama seperti yang diberi kepada lagu Rela.

Tila merendah diri apabila ditanya apakah perasaannya apabila album
itu `meletup.'
Share:

No comments:

Peringatan

Ini adalah blog peribadi. Sebarang pendapat, ulasan, komen, pandangan dan segala bentuk penulisan adalah dari saya sendiri dan tidak berniat untuk merosakkan reputasi, imej dan nama baik sesetengah pihak.

Pandangan dan ulasan adalah jujur demi meningkatkan mutu dan kualiti sesetengah pihak bagi pandangan peribadi saya.

Dan pendapat penulis tidak semestinya kekal.

~Firdaus Khalid~

Contact Us

Name

Email *

Message *